Friday, February 27, 2009

Mencari keHEBATan

Salam perjuangan...lama tak bertemu dengan sahabat-sahabat dan saudara-saudara di alam maya... memang agak lama tak update blog ni. Orang kata.."buat rugi je...!"=)

Sekarang ni otak ligat berfikir arah tuju, perancangan dan masa depan. Saya tertarik dengan bingkisan Prof Dr Hamka dalam buku beliau "Falsafah Hidup" dalam topik "mengatur kerja", beliau memberi pandangan yang menurut perspektif saya cukup menarik. Mungkin lebih baik saya terus mengambil sedikit sedutan penulisan beliau untuk sama-sama kita mentafsir dan menghayati...

"Hendaklah rancangan pekerjaan yang kita hadapi itu disesuaikan dengan kondisi badan sendiri. Selama kita memakai semboyan "tidak melebihi kekuatan diri, serta sudi menyesuaikan pekerjaan dengan apa yang sesuai dengan tabiaat kemanusiaan", maka selama itu pula kita wajib menjaga segala pekerjaan supaya sesuai dengan kekuatan.Orang yang akan beroleh kemenangan dalam suatu pekerjaan ialah orang yang mengukur bajunya sesuai dengan tubuhnya. Seorang yang cenderung dirinya menjadi wartawan misalnya tidaklah akan jaya kalau ia jadi tentera dan pergi bertempur. Di medan perang ia tidak akan dijadikan panglima, dia hanya jadi pengikut kerana sebenarnya bukan di sana medan perjuangannya. Medannya bukan lapangan hijau berumput berbatu-batu, tetapi lapangan kertas yang putih bersih. Segala pekerjaan itu tiada rendah atau hina. Hinanya pekerjaan itu lantaran hinanya perangai ketika mengerjakannya. Maka alangkah ruginya masyarakat kalau sekiranya ia tidak lekas insaf, tentu akan tersembunyi suatu kekuatan yang pada hakikatnya memang perlu."

Saya mula tertarik dengan penulisan falsafah beliau sejak 2 tahun yang lepas. Begitulah manusia...selalu ingin dilihat hebat dan disanjungi sedangkan penilaian kehebatan itu sangat luas. Seseorang itu memang bernasib baik jika dia dihargai dan disanjungi namun selalunya orang yang disanjungi tidak selalunya bernasib baik. Pada pandangan saya, ada yang tidak kena dengan pengiktirafan dalam masyarakat. Kita terlalu menyanjungi orang yang berpangkat dan bergelaran. Dialog ini selalu kita dengar.."Hebatnya orang tu..dapat PhD,tak macam orang sana tu,belajar tak pandai"..."Hebatnya..dapat gelaran Dato'..." dan yang sewaktu dengannya. Begitu juga dengan cara segelintir cikgu atau ibubapa yang menghukum anak-anak mereka dengan istilah yang kurang sesuai. Adilkah apabila seorang ibu melabelkan seorang anaknya "bodoh" atau "tidak berguna" hanya kerana kurang bijak berbanding anak-anak yang lain dalam pelajaran?

Mungkin kita tak pernah terfikir apa akan jadi jika sesebuah negara yang mempunyai rakyat yang semua mempunyai kebolehan yang sama dan layak untuk menjadi Perdana Menteri.. Dan bagaimana pula jika semua pelajar sekolah berjaya masuk universiti dan berjaya memperolehi PhD? Setiap orang mempunyai kehebatan dan kepakaran dalam bidang masing-masing. Zalimlah kita jika menetapkan kehebatan pada satu takrifan. Tidakkah kita sebagai muslim ingat akan penilaian Allah yang sebenar adalah pada TAQWA. "Aku dan Islam, zarah itu"...perumpamaan ini saya pinjam dari seorang kakak. Dan apabila zarah-zarah yang masing-masing mempunyai kehebatan tersendiri memenuhi setiap ruang dalam masyarakat, saya yakin dan pasti zarah-zarah itu akan bercantum menjadi satu jisim yang padu. Bermula dari situlah kita akan lihat kesempurnaan Islam.