Saturday, March 28, 2009

Perkara Kecil boleh jadi BERMAKNA...


Kadang-kadang kita ingat ambil mudah dengan perkara-perkara "simple". Dalam persahabatan, perkara kecil boleh jadi besar sehinggakan kawan boleh jadi lawan. Kita mungkin beranggapan nak jadi orang berjiwa besar kena berfikiran besar, tidak perlu fikir perkara-perkara kecil. Mungkin betul...tapi jika semua perkara kecil kita tidak ambil peduli kemungkinan besar kita akan bermasalah dengan semua orang dan semua urusan. Malah, bukan semua perkara yang kita anggap kecil akan dianggap remeh juga oleh orang lain. Perspektif orang itu berbeza mengikut latar belakang,persekitaran,budaya dan ilmunya. Lebih-lebih lagi kita sebagai pendakwah zaman ini.

Saya masih ingat ketika saya kerja sementara di sebuah mini market di Kuala Terengganu selepas SPM dulu...saya menjaga kaunter. Semua orang maklum lah kan...muka saya ni susah nak senyum..sampai pernah kena tegur oleh seorang pelanggan di situ. Nak dijadikan cerita, pada satu hari tu,saya pun tak perasan ada pelanggan di kalangan kawan adik saya membeli di mini market tu. Bila saya balik ke rumah, adik saya Atikah bagitahu yang kawan dia cakap jumpa saya dan dia kata saya baik. Pelik! Dah la saya memang tak kenal dan saya tak ingat pun bila saya buat baik kat dia... Rupa-rupanya hanya kerana satu senyuman dan ucapan "terima kasih" ketika dia membayar di kaunter. Mula sangat itu, saya tidak mengambil mudah dalam semua perkara terutama tugas sebagai pendakwah. Mungkin dalam kita tidak sedar kita telah banyak kehilangan mad'u kita kerana sikap kita sendiri.

Malah, saya pernah jumpa seorang kenalan dalam bas semasa dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur, saya masih simpan nombor telefon dia...Dia cakap kenapa ramai perempuan-perempuan yang memakai tudung "besar" ni sombong dan susah nak berkawan dengan kami(merujuk kepada mereka yang tidak memakai tudung)? Macam kami ni dah ahli neraka dan muslimat tu ahli syurga...! Terkejut saya....Begitu rupanya anggapan mereka. Lepas tu, saya sembang la dengan dia sampai KL.

Begitu juga dalam persahabatan sesama kita. Mungkin kita anggap ukhuwah ni perkara yang kecil saja.Tapi jangan terkejut jika hakikatnya ada orang yang terlibat dengan gerakan dakwah kerana seorang sahabat dan ada orang yang meninggalkan gerakan dakwah kerana dendam seorang sahabat. Semua itu sudah ada!

Bukan semua perkara kecil itu boleh diremeh-temehkan.

Baru-baru ini,saya membuat permintaan sahabat-sahabat menghantar 'sms' teka-teki kepada saya untuk dimuatkan dalam majalah. Alhamdulillah...masih ada yang mempunyai masa untuk melayan 'perkara kecil' ini. Untuk pengetahuan dan pengajaran semua, semasa kami kecil, saya dan adik-beradik (13 orang) selalu bergurau dan main teka-teki. Kadang-kadang, sampai besar dah jadi mak bapak orang pun masih buat teka-teki bila kami berkumpul di kampung. Ini adalah salah satu cara kami adik-beradik meninggalkan kenangan untuk diri masing-masing supaya apabila berjauhan tetap dekat di hati.

APABILA OTAK BESAR TAPI HATI KECIL

Seorang pemimpin yang hebat memang mempunyai satu pemikiran dan pandangan yang holistik. Tapi tak semestinya dia mesti berhai kecil. Rasulullah s.a.w sendiri mempunyai hati yang halus mulus dan penyayang. Apabila cucu baginda meninggal di atas peha baginda menangis, salah seorang sahabat baginda bertanya..ya Rasulullah kenapa engkau menangis,bukankah engkau melarang kami meratapi kematian. Rasulullah menjawab :"Ini tandanya hati kita mempunyai belas(kasih sayang)." Malah sahabat baginda, Umar al-Khatab yang terkenal dengan tegasnya sangat lemah-lembut terhadap isteri beliau. Inilah cara Islam ingin tonjolkan, memang kita perlu memandang ke langit tapi kita perlu ingat kaki kita masih memijak bumi.

Begitu juga Islam mengajar kita tentang adab. Kita memang kena berani tapi bukan bermaksud kurang ajar. Ada masa kita mesti bersikap lembut dengan musuh dengan anggapan dia adalah mad'u kita dan ada masa kita kena berkasar dengan anggapan dia adalah lawan kita. Perbezaan inilah yang perlu difahami. Kadang-kadang kesilapan yang kecil inilah yang menjadi fitnah kepada para pendakwah masa kini. Fitnah-fitnah inilah yang menutup pintu hati mad'u untuk terus memahami dan manghayati nilai-nilai Islam yang sebenar.

Tiba masanya kita perlu prihatin.

Semua pandangan saya di atas juga berkaitan dengan topik 'emosi pemikiran' yang akan saya sambung pada masa akan datang. Apabila kita hanya menggunakan akal semata,maka hanya perkara logik yang kita fikirkan dan apabila kita menggunakn emosi semata,hanya perasaan yang dapat dilahirkan. Semua perlakuan dan pemikiran haruslah mengikut ajaran yang telah disusun dengan indah oleh Allah dalam al-Quran dan telah diadun dengan kemas oleh Rasulullah s.a.w melalui sunnahnya. Jom pakat ikut!

Saturday, March 21, 2009

Emosi Pemikiran Part 1

Emosi akan berkembang ke peringkat yang seterusnya iaitu apabila seseorang mampu mengaitkan emosi dengan pemikiran. Pengalaman daripada apa yang dilihat, didengar dan dialami direkodkan secara langsung sebagai reaksi emosi. Reaksi-reaksi tersebut akan disimpan dalam memori yang akan digunakan dalam proses pemikiran kelak (Azleena & Zainal, 2004).


Pada peringkat awal kanak-kanak, kebolehan di dalam memahami emosi dan puncanya semakin meningkat. Pengawalan emosi kanak-kanak mula meningkat termasuklah kemampuannya untuk menerima kekecewaan serta menjadi seorang yang fleksibel dalam mengawal emosi dan dorongan. Di samping itu,saya ingin membawa anda semua merenung bagaimana kaitan emosi dan pemikiran semasa membaca al-Quran. Rasulullah S.A.W sangat menggalakkan umat baginda menangis apabila membaca al-Quran, malah berusaha (buat-buat) menangis. Apa rahsia disebaliknya? Nanti kita cuba rungkaikan...